Malaysia Bukan Negara Transit Penjenayah Luar : Hishammuddin PDF Print E-mail
Berita | Am

PETALING JAYA, 13 Feb - Malaysia tidak akan membenarkan penjenayah yang dikehendaki di negaranya sendiri menjadikan negara ini sebagai destinasi untuk bersembunyi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Jangan ingat Malaysia negara yang selamat untuk mereka bernaung dan tinggal bagi mengelak mereka diburu. Kita tidak akan membenarkan mereka menjadikan Malaysia sebagai transit," katanya mengulas penahanan Mohammad Najeeb A.Kashgari, 23, kolumnis akhbar Arab Saudi yang dilaporkan dihantar pulang ke negara asal kerana didakwa menggunakan twitter untuk menghina Nabi Muhammad SAW.

Hishammuddin memberitahu pemberita di sini pada Isnin bahawa penahanan Mohammad Najeeb dibuat atas permintaan kerajaan Arab Saudi dan bukannya daripada Interpol seperti yang didakwa beberapa pihak.

"Saya harap isu ini tidak dipolitikkan," katanya.

Hishammuddin turut menafikan wujud injunksi mahkamah untuk menghalang penghantaran pulang kolumnis Arab Saudi itu.

"Kita telah menghantar pulang wartawan itu jadi ia tiada kaitan dengan isu politik, ada beratus-ratus kes seperti ini tetapi ini merupakan satu kes yang cuba diperbesarkan.

"Kita punya polisi bukan sahaja pada negara Arab Saudi tetapi juga negara lain termasuklah Amerika Syarikat jika diminta berbuat demikian," katanya.

Mengulas penangkapan seorang rakyat Malaysia di Indonesia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan isu gambar lucah seorang anggota exco kerajaan Selangor, Hishammuddin berkata polis sedang meneliti bagaimana lelaki itu boleh memalsukan dokumen di negara ini sehingga membolehkan dia tinggal di Indonesia.

"Ia satu perbuatan yang serius dan kita akan menyiasat sedalam-dalamnya," katanya.

Sebuah portal Indonesia baru-baru ini melaporkan seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Azmin Helmi, yang kemudian disahkan polis Malaysia sebagai Hilmi Hazimin Malek, ditahan Imigresen Indonesia di Pulau Batam kerana memiliki dokumen palsu.

- BERNAMA

 

Add comment


Dosa Tolak Tepi

mod_vvisit_counterHari Ini9092

mod_vvisit_counterSemalam16130

mod_vvisit_counterMinggu Ini83265

We have: 80 guests, 1 members, 72 bots online
IP Anda: 38.107.179.233
Today: May 19, 2012
mod_vvisit_counterBulan Ini276564

mod_vvisit_counterSejak Mei '107455375

FoN Team