|
Berita |
Am
|
|
KUCHING, 13 Feb - Sejumlah 245 atau 78.5 peratus daripada 312 projek yang diumumkan ketika program tinjauan mesra oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, telah siap dibina setakat ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah, yang bertanggungjawab memastikan pelaksanaan semua projek itu, berkata projek-projek yang dilaksanakan setakat ini melibatkan kos RM213.7 juta. Sebanyak 40 projek atau 12.82 peratus, dengan kos RM1.312 bilion, sedang dilaksanakan manakala 27 projek atau 8.65 peratus, dengan kos RM709.66 juta belum lagi dimulakan, katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan tinjauan beliau ke tiga projek di bahagian Miri pada Isnin. Beliau melawat projek menara tinjau kebakaran hutan paya di Senadin, Kuala Baram, tapak projek kecil di Kampung Tanjung Batu, Miri Bypass, dan tapak kolam takungan di Taman Tunku di Miri. Kesemua projek itu siap dibina sehingga 9 Feb lepas. Uggah merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan pelaksanaan projek-projek berkenaan, termasuk kerajaan negeri Sarawak, kementerian dan agensi di bawahnya serta wakil-wakil rakyat kawasan. "Ucapan terima kasih juga kepada penduduk setempat dan rakyat Sarawak umumnya di atas kesabaran mereka menunggu projek-projek ini dilaksanakan," katanya. - BERNAMA |