Golongan Muda Teruja Untuk Sertai Program 1 Juta Tweet Merdeka Ke-55

Sue Fowler

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Rata-rata golongan muda teruja dan tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dengan menyertai program 1 Juta Tweet Merdeka 55.

Picture1 - Golongan Muda Teruja Untuk Sertai Program 1 Juta Tweet Merdeka Ke-55

Meskipun sekadar satu mesej ringkas, generasi muda berpendapat ia adalah peluang bagi menzahirkan semangat kemerdekaan di kalangan mereka.

Khairun Nizam Husen, 21, seorang pelajar berkata kerajaan dilihat mengambil inisiatif berkesan dengan memperkenalkan program itu kepada generasi muda kerana laman sosial Twitter kini sudah menjadi satu fenomena di kalangan mereka.

“Tidak dapat dinafikan remaja sekarang sedikit sebanyak sudah melupakan sambutan kemerdekaan, namun melalui program 1 juta tweet ini remaja dapat menonjolkan kembali rasa cintakan tanah air mereka.

“Saya berasa sangat teruja untuk menyertai 1 juta tweet kemerdekaan yang bakal berlangsung pada malam merdeka nanti dan sudah mempunyai idea mengenai tweet kemerdekaan nanti,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan sasaran 1 juta “Tweet” berunsurkan patriotik dan cintakan tanah air dari seluruh pengguna “Twitter” di Malaysia ditetapkan bagi memecahkan rekod dunia pada Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.

Rais berkata pengguna Twitter di Malaysia boleh melakukan tweet dalam tempoh waktu satu jam dari pukul 8.15 malam sehingga 9.15 malam dengan mengikutinya di laman ‘Tweet #Merdeka55’ pada malam sambutan yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penulis blog, Nurul Aziera Mohd Zain, 22, berkata jika golongan veteran yang menuntut kemerdekaan satu ketika dahulu berjuang secara fizikal, golongan muda seperti beliau boleh menjadikan twitter sebagai medium untuk menzahirkan semangat kemerdekaan.

“Program 1 juta tweet ini secara tidak langsung dapat melonjakkan nama negara di mata dunia,” katanya.

Ariffuddin Ismail , 21, pula berkata dengan adanya 1 juta tweet Merdeka ke-55 akan dapat memupuk kasih sayang dan semangat kecintaan kepada negara.

“Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental yang dinikmati dengan membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah,” katanya.

Muhammad Fakhruddin Khairuddin, 22, menyifatkan program tweet 1 juta merdeka sebagai ‘bagus’ kerana melalui media sosial semangat kemerdekaan remaja dapat dipupuk kembali dan mendekatkan mereka untuk mengerti erti kemerdekaan.

“Seperti yang kita nampak sekarang, semangat kemerdekaan sudah hampir pupus terutamanya dalam kalangan remaja, jadi dengan adanya program ini mereka akan lebih bersemangat dan mengingati hari kemerdekaan,” katanya.

Khew Xun Jie, 26, seorang pelajar berpendapat program itu walaupun boleh menunjukkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, ia hanya terhad kepada pengguna twitter.

“Ini tidak adil kepada golongan yang tidak mempunyai telefon pintar bagi mengakses twitter. Pada tempoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam orang sudah mula keluar menghadiri aktiviti kemerdekaan, jika mahu buat macam tu, eloklah buat awal sikit,” katanya.

– BERNAMA

Next Post

Peluang Tersedia Oleh Kerajaan Untuk Usahawan Tingkat Pendapatan - Fama

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Abdul Razak Majid berkata umpamanya penubuhan pasar tani sahaja di seluruh negara sudahpun mencecah angka 476 lokasi setakat ini. “Ini merupakan salah satu rangkaian yang paling besar bagi membantu peniaga kecilan memasarkan hasil tanaman atau barangan mereka kepada pelanggan setempat,” […]
pasar tani kementan 1024x579 - Golongan Muda Teruja Untuk Sertai Program 1 Juta Tweet Merdeka Ke-55