|
Maka Datuk Seri Anwar Ibrahim pun dibebaskan dari tuduhan meliwat bekas pembantunya. Bersoraklah penyokong beliau, termasuk kalangan pemimpin politik dan parti yang mempermodalkan Islam, malah ada pula yang berpuasa sunat.
Agak pelik apabila kes bersifat peribadi ini disuntikkan elemen politik oleh pembangkang, sedangkan jika menurut akal waras, apa kena-mengena tuduhan meliwat ke atas seorang warganegara dengan politik dan pentadbiran negara. Lainlah jika Anwar seorang pemimpin kerajaan, sebagaimana tuduhan kali pertama bagi kesalahan pertama satu ketika dulu.
Tidak diketahui matlamat sebenar perhimpunan di luar mahkamah oleh penyokong Anwar, tapi ia mudah dilihat sebagai berbau politik. Belum pernah lagi sesebuah mahkamah di negara ini, sejak merdeka, malah sebelum itu, membuat sesuatu keputusan dengan dipengaruhi oleh sepanduk dan laungan sebarang perhimpunan.
Mahkamah adalah mahkamah dan hakim adalah hakim, mereka bukannya ahli politik. Kalau mereka bersimpati sekalipun kepada sesiapa yang tertuduh, ia tidak ada kena mengena dengan urusan rasmi mereka menentukan keadilan berasaskan hujah dan bukti.
Kalau ada yang merasakan keputusan itu tidak adil, maka, that’s too bad. Ini sama seperti keputusan terhadap Anwar. Suka atau tidak Saiful terpaksa menerimanya.
Bagi mahkamah, tidak ada asas untuk dilanjutkan kes perbicaraan tanpa adanya bukti kukuh dan dengan keputusan tersebut terjawablah segala dakwaan kononnya mahkamah menyebelahi kerajaan sebagaimana cuba disebarkan peminat Anwar, di dalam mahupun di luar negara.
Kalau mahu dikaitkan dengan politik sekalipun, keputusan itu sepatutnya memberikan leverage tinggi buat Anwar. Tapi sayang, ia tidak beri apa-apa makna lagi buatnya walaupun dia dan penyokongnya berasa sebaliknya.
Barangkali Anwar cuma boleh berpuas hati dengan keputusan itu sebagai kemenangan peribadi. Tetapi di luar mahkamah, dan akibat tampak seolah-olah cuba menegakkan benang basah, dan diperkukuhkan lagi dengan cita-cita jadi Perdana Menteri, tak kira bagaimana sekali pun, segala-galanya bukan sahaja menembak kembali dirinya, tetapi mematuhi the law of diminishing return. Maknanya kini apa saja dilakukan hanya merugikan.
Anwar bukannya Nelson Mandela. Bekas Pengerusi ANC dan mantan Presiden Afrika Selatan itu adalah seorang pejuang tulen. Jika anda membaca autobiografinya, Long Walk To Freedom, tidak ada di mana-mana dalam buku setebal 638 halaman itu mencadangkan Mandela menyimpan cita-cita mahu menjadi presiden.
Tidak mustahil dia pernah membaca buku tersebut untuk seorang mantan Timbalan Perdana Menteri (juga seorang tokoh pemikir ulung yang juga dilihat bercita-cita mahu menghidupkan Renaissance Asia setelah agenda Melayu dan perjuangan Islam yang dipermodalkan satu ketika dulu sudah menjadi perjuangan secondary atau mungkin tidak wujud lagi sama sekali.)
Sesiapa sahaja yang telah membaca buku itu boleh cerita bagaimana tulisan Mandela itu menjurus kepada perjuangan rakyat kulit hitam Afrika Selatan dan bukannya mengenai The African Renaissance yang tidak berpaksikan perjuangan bangsa.
Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Mandela hanya guna politik untuk merealisasikan apa diyakini dan diperjuangkannya. Kedua-dua mereka tidak pernah terlihat mahu menjadi tokoh pemikir dan ahli falsafah politik.
Namun bagi kebanyakan peminat setia Anwar, realiti politik dan perbandingan dengan yang lain-lainnya tidak penting. Mungkin mereka adalah generasi muda yang tak mengikuti sejarah perjuangan tokoh yang akhirnya menjadi pemimpin politik bertaraf lagenda atau apatah lagi membaca buku-buku seperti yang ditulis Mandela (tetapi dalam waktu sama mengaku diri memiliki kesedaran politik).
Mungkin disebabkan penyokong bertaraf kelas kedua dan ketiga inilah kerjaya politik Anwar bukan sahaja tidak dapat melonjak ke puncak, tetapi terus merudum dari semasa ke semasa.
Ramai berasa pelik tentang bakat semula jadi Anwar yang mampu memukau peminat setia ini walaupun ada di antara mereka bukan sahaja berpendidikan tinggi, malah pemimpin negara kuasa besar, ulama dunia dan bertaraf rektor universiti.
Sesungguhnya inilah satu-satunya bakat dan kebolehan luar biasa yang tidak dimiliki oleh Niccolo Machiavelli, ahli falsafah politik zaman Renaissance (Renaissance asli dan bukannya Asian Renaissance yang diangan-angankan Anwar). Sekiranya Anwar hidup zaman Machiavelli, pemikir berbangsa Itali itu pasti akan tabik hormat kepada Anwar.
Saya cuba memikirkan apakah yang telah dicapai Anwar baik ketika dalam Abim, Umno dan ketika ini untuk manfaat orang Melayu, rakyat dan Malaysia. Anwar pernah memiliki masa yang banyak dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri tapi tidak siapa boleh mengingati apa sebenarnya sumbangan Anwar.
Tetapi itu perkara biasa. Ada pemimpin yang popular cuma pandai bercakap tetapi tak pernah menyumbang sesuatu bermakna, walaupun sudah berpuluh tahun menjadi pemimpin kerajaan.
Rasanya sudah sampai masa semua rakyat, termasuk penyokong kelas kedua dan ketiga mengkaji dan memikirkan semula tentang siapa sebenarnya patut diberikan sokongan.
Kalau sekadar pandai pidato, guna hadis, ayat Quran, memetik kata dari buku-buku, tapi hasil fizikalnya ‘habuk pun tarak’, kirim salam sahajalah dengan tokoh pemimpin semacam ini.
oleh: yusuf harun |