Malaysia Positif Pelaksanaan Konsep ‘Plea Bargaining’ – Abdul Gani

LANGKAWI  – Malaysia positif berhubung pelaksanaan konsep ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah dalam kes jenayah di mahkamah, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.


Beliau berkata konsep itu akan mempercepatkan pelupusan kes jenayah dan mengurangkan kes tersebut yang tertunggak, selain menjimatkan masa serta kos mahkamah.

“Konsep ini diguna pakai di Amerika Syarikat dan sebanyak 90 peratus kes tertunggak berjaya diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Tahunan Kelima Jabatan Peguam Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura di sini pada hari Isnin.

Abdul Gani berkata sesetengah peguam mungkin bimbang dengan pelaksanaan konsep ‘plea bargaining’, namun beliau percaya ia sesuatu yang perlu dijalankan di negara ini.

Kira-kira 150 peserta, termasuk pegawai Jabatan Peguam Negara Malaysia, Brunei dan Singapura dengan diketuai Peguam Negara masing-masing, menghadiri kursus empat hari itu, yang antara lain, bertujuan menjadi forum penting bagi pertukara pengetahuan serta pengalaman dalam bidang perundangan.

Persidangan itu juga menjadi landasan yang menyediakan peluang lebih luas untuk berinteraksi bagi mengukuhkan jalinan perkongsian sedia ada, selain memupuk persahabatan dan hubungan erat di kalangan warga Jabatan Peguam Negara ketiga-tiga negara.

Topik yang dibincangkan ialah Rundingan Bagi Pengakuan Bersalah dan Hukumannya” serta “Timbang Tara dan Mediasi Sebagai Mekanisma Penyelesaian Pertikaian Alternatif’.

Terdahulu, Abdul Gani dalam ucapannya berkata topik berkenaan bukan sahaja tepat pada masanya, malah sesuai bagi memenuhi lanskap perundangan yang kian meluas, namun beliau turut mengingatkan bahawa keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, malah ia perlu dilihat telah dilaksanakan.

“Walaupun kita amat mendambakan perbicaraan dan pelupusan kes secara pantas, kita juga perlu ingat bahawa ia tidak sepatutnya menjejaskan keadilan.

“Kesucian keadilan tidak sepatutnya dikorbankan demi angka dan statistik, penangguhan juga tidak sepatutnya dicegah, namun ia perlu ditolak berlandaskan alasan yang koheren,” katanya.

Hadir sama Peguam Negara Brunei Datin Paduka Hayati Md Salleh dan Peguam Negara Singapura Sundaresh Menon. – BERNAMA

FoN Online